Gabus

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Gabus merupakan suatu bahan lampung yang mempunyai banyak kegunaan. Gabus digunakan sebagai penutup botol terutamanya minuman beralkohol seperti wain. Selain itu, kandungan udara yang banyak di dalam gabus menyebabkan ia digunakan sebagai pengapung dalam jaket keselamatan suatu masa dahulu.

Selain itu, kandungan udara yang banyak dalam gabus juga menjadikan gabus sebagai penebat yang baik. Oleh itu gabus telah digunakan sebagai pengalas meja bagi makanan panas dan sejuk, dan penebat bagi peti air batu. Gabus juga digunakan dalam pembinaan dinding rumah di negara-negara 4 musim.

Gabus sebenarnya berasal daripada tumbuhan, iaitu kulit sejenis pokok. Pada masa sekarang, gabus telah banyak digantikan dengan bahan buatan manusia yang lain seperti styrofoam. Bagaimanapun, gabus masih merupakan bahan terbaik kerana gabus adalah sejenis bahan mesra alam, mudah terurai, dan tidak meracuni alam sekitar.

Seorang pakar sains bernama Robert Hooke menjadi orang pertama yang menggambarkan sel. Robert Hooke telah meneliti hirisan nipis gabus menerusi mikroskop ringkas dan mendapati hirisan tersebut terdiri daripada susunan unit-unit kecil.